Makanan Tradisional di Malaysia

1.Sate

Sate merupakan hirisan daging yang diperap, dicucuk dengan lidi dan dibakar atas dapur arang. Biasanya sate dihidang dengan kuah kacang dan juga hirisan bawang serta timun.Terdapat pelbagai jenis sate di Malaysia iaitu sate daging, sate ayam, sate perut dan sate kambing. Ia merupakan kegemaran hampir seluruh rakyat Malaysia dan boleh didapati dengan mudah di gerai penjaja, pasar malam mahupun restoran.Sate ini juga enak dimakan bersama nasi himpit yang boleh dijadikan sebagai pengganti nasi. Ia juga sering dijadikan hidangan ringan pada waktu malam dan sangat popular sebagai salah satu hidangan menjelang sambutan perayaan.


2.Apam Balik

Apam Balik merupakan sejenis penkek leper yang dimasak menggunakan acuan khas dan boleh ditemui di mana jua sekitar Malaysia. Ia turut dijual secara meluas oleh penjaja di mana sahaja
Bahan yang digunakan untuk membuat apam balik terdiri dari adunan tepung, santan, air, gula, telur dan soda penaik. Ia mempunyai inti seperti kacang tanah yang dikisar, gula dan krim jagung manis. Apam balik juga boleh diletakkan pelbagai jenis inti lain seperti hirisan coklat, parutan kelapa dan sebagainya mengikut selera masing – masing.Apam Balik juga telah diisytiharkan sebagai makanan warisan negara oleh Jabatan Warisan Kebangsaan Malaysia.


3.Bahulu


Bahulu  antara kuih tradisional yang sangat popular dan sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja tidak semestinya apabila tiba waktu perayaan. Kaedah pembuatan bahulu adalah agak rumit dengan mengekalkan pembuatan secara tradisional. Namun kini pembuatan bahulu secara tradisional telah digantikan dengan kaedah moden yang lebih mudah dan pantas. Ramuan utama bahulu adalah telur dan ia terdapat dalam pelbagai jenis seperti bahulu pandan, bahulu asli, bahulu gulung dan banyak lagi.


4.Roti Canai

Roti Canai merupakan roti leper yang diperkenalkan oleh masyarakat India. Ia boleh didapati di kebanyakan restoran mamak dan restoran Melayu di Malaysia.
Hidangan ini dibawa oleh immigran Tamil Muslim yang telah menetap di Malaysia. Ia turut dikenali dengan nama ‘roti terbang’ kerana proses pembuatannya yang seakan lemparan dan pusingan sebelum dimasak. Biasanya Roti Canai dimakan bersama kuah kari samada kari ikan, ayam, daging atau kambing, kuah kacang dhal dan juga sambal tumis. Malah, ada di sesetengah tempat menikmati Roti Canai ini bersama gula pasir yang dicampurkan ke dalam kuah kari.Roti Canai ini juga mempunyai pelbagai pilihan lain seperti Roti Telur, Roti Tisu, Roti Pisang, Roti Bawang, Roti Planta dan sebagainya.


5.Ais Kacang

Ais Kacang atau juga dikenali sebagai Ais Batu Campur (ABC) merupakan pencuci mulut yang popular di Malaysia. Pada awalnya ia dibuat daripada ais yang dikisar serta dicampur dengan kacang merah.Namun kini, ramuan Ais Kacang telah dihidang dengan pelbagai jenis bahan seperti buah-buahan yang membuatkannya lebih enak dan berwarna-warni. Ia turut dicampurkan dengan  kacang merah, jagung manis, cincau, agar-agar, kacang dan aiskrim.Bagi melengkapkan hidangan ini, ia dicampurkan dengan susu pekat, susu sejat yang dituang ke atas timbunan ais yang dikisar beserta dengan sedikit sirap ros. Ada juga yang Ais Kacang yang disirami dengan coklat cair bagi menambah selera.